Tahukah kamu,apabila mengetahui bulan kelahiran seseorang,kamu boleh mengenali peribadinya. Walaupun ia tidak seratus peratus tepat,tetapi ia boleh menjadi panduan sekiranya kamu mahu mengenali keperibadian temanmu atau si dia yang kamu minati. Bagaimanapun,jangan pula taksub mempercayainya. Tapi sekiranya ada yang tepat,mungkin ia hanya satu kebetulan sahaja. Jadi, jom semak peribadi kamu melalui bulan kelahiran bermula dari Januari hingga Disember!
JANUARI
- Buat kamu yang bernaung di bawah bulan Januari, kamu memang bercita-cita tinggi dan serius di dalam setiap perkara berkaitan dengan masa depan. Malah, kamu juga mempunyai kecenderungan untuk suka mendidik dan dididik oleh orang lain. Kamu begitu kemas,teratur dan bijak di dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan. Sifat penyayang kamu begitu tinggi, terutama terhadap kanak-kanak malahan kamu bijak mengambil hati orang lain. Apa sahaja yang kamu lakukan akan berhasil dan mendapat keuntungan. Apabila berkaitan dengan soal cinta dan persahabatan,kamu memang setia. Disiplin diri kamu juga begitu tinggi. Namun, sifat buruk kamu ialah kamu kuat cemburu, terlalu sensitif dan tidak mampu mempamerkan kasih sayang. Kamu juga mudah diserang selesema.
FEBRUARI
- Kamu memang seorang yang bijak malahan boleh dikatakan sebagai genius! Sikap kamu memang mudah menawan hati orang lain dan kamu begitu jujur serta setia dalam soal cinta dan persahabatan. Jejaka / gadis Februari memang bercita-cita tinggi dan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan impiannya. Kamu begitu berminat dengan sukan dan hiburan dan menyukai perkara yang berkaitan dengan seni. Kamu mempunyai pemerhatian yang tajam dan sukakan perkara yang realiti serta abstrak. Sikap buruk kamu ialah kamu terlalu boros dan gemar mempercayai perkara tahayul. Perasaan kamu juga begitu halus dan mudah terluka kerana terlalu sensitif. Kamu juga mudah marah dan akan menunjukkan kemarahan kepada orang lain. Kadang-kala sikap berani kamu menjadikan kamu suka memberontak jadi cuba kawal emosi kamu.
MAC
- Wow! Kamu memang mempunyai personaliti yang menarik dan mampu menawan hati sesiapa sahaja. Kamu juga mudah didampingi dan sangat peka dengan orang lain. Secara semula jadinya kamu memang sangat baik,jujur dan pemurah. Kebaikan kamu ialah kamu tahu mengenang budi dan membalas budi orang lain. Kalau kamu mahu tahu, jejaka atau gadis yang bernaung di bawah bulan Mac mempunyai bakat seni dalam bidang muzik. Kamu juga suka dengan hiasan rumah dan gemar melancong. Kamu memang manja orangnya dan sukakan belaian. Kerjaya yang sesuai dengan kamu ialah memberi khidmat kepada orang lain. Kamu juga mudah mengawal kemarahan dan sangat amanah, kerana itu kamu disukai oleh ramai orang. Sikap buruk kamu ialah suka berangan-angan dan cepat moody. Kamu juga pernah berdendam sekiranya tidak mampu dikawal. Jangan kelam kabut sangat di dalam memilih pasangan kerana cinta akan datang juga,sabar....
APRIL
- Jejaka atau gadis April memang aktif dan dinamik. Mereka selalunya menarik dan bijak memanjakan diri. Kamu juga suka diberi perhatian dan mempunyai daya mental yang sangat kuat. Kamu memang suka dengan cabaran, bersifat pengasih,penyayang,kamu sering menjadi tempat mengadu masalah dan berkebolehan menyelesaikan masalah teman-teman kamu. Kamu percaya dengan gerak hati dan mempunyai kemahiran memotivasikan orang lain selain boleh mendorong diri sendiri. Wow! Kamu juga bijak memujuk. Kamu terlalu berani dan tidak mempunyai sifat penakut. Sikap buruk kamu ialah kamu sangat cemburu dan sering kelam kabut di dalam membuat keputusan. Kamu juga cenderung mempunyai sifat dendam dan sering mempunyai penyakit di bahagian kepala dan dada. Emosi kamu juga mudah terusik dan selepas ini kamu perlu bijak mengawal emosi diri.
MEI
- Kamu memang mempunyai daya firasat yang tinggi dan bijak mentafsir hati orang lain tanpa di beritahu. Kamu juga mempunyai pemikiran yang tajam dan pandai berdebat. Jejaka atau gadis yang bernaung di bawah bulan Mei memang rajin dan bersemangat tinggi. Pendirian kamu juga tetap dan tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain. Kalau orang kata kamu cantik, kamu ini begitu cantik mental dan fizikal. Sikap kamu yang menarik ialah kamu pandai mengambil hati dan menawan perasaan orang lain. Semangat kamu kuat dan bermotivasi tinggi. Sikap buruk kamu ialah kamu agak boros dan mempunyai daya khayalan yang tinggi. Kamu juga mudah melenting dan emosi sering tidak terkawal. Serta keras hati dan degil. Sekiranya kamu marah atau kecil hati,kamu mudah dipujuk. Bahagian telinga dan leher mudah diserang penyakit dan kamu suka berangan.
JUN
- Kamu memang berwawasan dan berfikiran jauh. Mudah mendekati kamu kerana kamu mempunyai sikap baik dan lemah lembut. Kamu memang mempunyai idea yang banyak di dalam kepala dan otak kamu sentiasa aktif di dalam memberikan pendapat yang bernas. Jejaka atau gadis Jun ini begitu pandai bergurau dan berkawan. Awas! Mereka suka bercakap dan berdebat. Orangnya pun sangat tertib dan teratur. Hobinya pula suka berkemas dan sukakan kedamaian. Sikap buruk kamu ialah kamu mudah kecil hati,sensitif dan lambat sembuh apabila hati terluka. Kamu juga terlalu degil dan bersikap suka menangguhkan kerja. Kamu juga sukar melakukan sesuatu dengan segera dan mudah berasa bosan. Kamu juga terlalu memilih dan cerewet. Mudahnya kamu untuk kena selesema, makan vitamin C banyak-banyak ya....
JULAI
- Kamu memang perahsia orangnya. Jejaka Julai memang misteri orangnya namun penaung di bawah bulan ini memang seronok untuk didekati. Kamu tidak menyusahkan orang lain tetapi tidak kisah sekiranya orang lain menyusahkan kamu. Kamu sangat mementingkan perasaan orang lain dan berjiwa sentimental. Sikap ambil berat dan penyayang kamu ini menjadikan kamu sentiasa disenangi oleh orang sekeliling. Kamu memang rajin dan sangat peramah. Kamu tidak pandai mengasingkan pergaulan kamu dan melayan setiap orang dengan saksama. Sikap buruk kamu ialah kamu mudah emosi dan lambat sembuh hati sekiranya terluka. Kamu juga suka mendiamkan diri walaupun perkara itu tidak kamu senangi. Awas! Kamu mudah gemuk sekiranya tidak mengawal diet dan kamu begitu mudah mendapat penyakit dalam perut.
OGOS
- Kelakar kamu ini,memang sikapmu suka berjenaka. Orang sekeliling akan mudah tertawan dengan kamu kerana kamu begitu mengambil berat dan sopan santun. Kamu bersikap tegas dan mempunyai sifat kepimpinan. Kamu juga mempunyai harga diri yang sangat tinggi dan terlalu berani. Kamu begitu romantik, pengasih dan penyayang,sikap kamu yang suka mencari kawan juga menjadikan bulatan teman-teman kamu makin lama makin besar. Fikiran kamu juga cekap dan amat berbakat dalam seni lukis,hiburan dan ilmu silat. Sikap buruk kamu ialah kamu terlalu ego dan mudah marah. Sering kelam kabut dan sangat cemburu. Kamu juga mudah marah apabila cakapmu di bangkang dan mudah merajuk. Kamu harus belajar untuk lebih tenang dan menerima kritikan dengan matang.
SEPTEMBER
- Kamu memang tergolong dalam golongan yang bijak. Kamu mudah belajar dan suka mencari maklumat baru. Kamu amat bersistematik dalam soal kerja dan mudah memahami orang lain. Kamu bijak menyimpan rahsia dan setiap kerja yang dilakukan begitu sempurna. Kamu cool,sangat baik dan mudah simpati dengan orang lain. Sikap baik kamu ialah sangat cermat,teliti dan teratur. Kamu juga sangat prihatin, amanah,setia dan jujur. Kamu amat pendiam tetapi apabila sekali bercakap memang banyak! Sikap buruk kamu ialah kamu terlalu memilih pasangan dan teman,kamu kuat mengkritik orang lain dan senang nampak kesilapan orang lain. Sangat sensitif dan mudah memendam rasa. Hati kamu mudah terlalu kerana kerap memendam perasaan. Kamu adalah orang yang banyak berfikir dan kerana itu kamu sering nampak bermasalah.
OKTOBER
- Penaung Oktober ini memang suka berkawan. Kamu mempunyai kecantikan luar dan dalam,sangat menawan dan sopan santun. Kamu juga mempunyai sifat pengasih,penyayang dan lemah lembut. Di dalam percintaan, kamu adalah kekasih yang romantik. Pura-pura dan berbohong bukanlah cara kamu dan kamu mudah simpati dan begitu mementingkan kawan. Kamu akan suka dengan orang yang sayang kepada mu dan memang kamu suka bersembang. Kamu suka dengan kegiatan luar dan begitu mudah mengambil berat tentang orang lain. Sikap buruk kamu ialah emosi yang kelam kabut,boros dan mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Kamu seperti mementingkan diri sendiri dan hanya menolong sekiranya di minta. Kamu juga mudah marah dan tidak gemar menerima pandangan orang lain. Kamu juga mudah patah semangat apabila berhadapan dengan kegagalan.
NOVEMBER
- Ahah! Penaung November ini memang bijak mencungkil rahsia,mencari dan menyimpan rahsia. Memang bagus kalau bekerja sebagai wartawan. Kamu mempunyai personaliti yang dinamik,berfikiran unik dan bijak. Juga penuh dengan idea baru yang luar biasa. Kamu sentiasa berfikiran ke hadapan,berani, pemurah,setia dan sabar. Kamu memang mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi dan begitu mudah menyayangi orang lain. Tidak mudah marah kecuali apabila di gugat dan sering berusaha mencapai kejayaan. Untuk jejaka November,kamu pasti mempunyai badan yang tegap dan amat romantik dalam percintaan. Sikap buruk kamu ialah tidak menghargai pujian dan gagal mengawal emosi. Kamu juga terlalu degil dan keras hati dan perangai sering berubah-ubah.
DISEMBER
- Kamu memang sangat pemurah dan setia dengan percintaan dan persahabatan. Kamu begitu patriotik dan sangat aktif di dalam permainan dan pergaulan. Sikap pura-pura memang tiada dalam kamus hidupmu dan kamu sering berfikiran logik. Amanah dan jujur adalah sikap terpuji kamu dan sering sukakan tanggungjawab yang di berikan kepada mu. Suka bergaul dengan orang lain dan suka berjenaka. Kamu juga tidak ego walaupun sudah berada di puncak kejayaan. Sikap buruk kamu ialah perangai yang mudah berubah, cepat marah,kurang sabar dan tergesa-gesa. Benci pada kongkongan sangat suka di puji dan di belai selalu.